Info EPL & La Liga dalam Bahasa Melayu

Sepintas lalu

Entri terkini berada di bawah kolum sepintas lalu. Sila skrol ke bawah.

Perkembangan terkini spekulasi dan fakta perpindahan empat gergasi EPL (Telegraph)
Klik Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool untuk mengetahui pemain yang hangat diperkatakan bakal memantapkan saingan empat pasukan teratas EPL itu. Perkembangan terkini pesaing Piala UEFA, Everton turut dikemas-kini.



Sabtu, 6 September 2008

Big five / 5 gergasi EPL

PEMAIN veteran Manchester United, Ryan Giggs, yakin perebutan mahkota juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kini bakal disaingi lima gergasi (big five) dan tidak lagi empat pasukan (big four) seperti sebelumnya.

Machester City mengejutkan banyak pihak dalam senario mutakhir bermula pengunduran mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinaratwa, pengambilalihan kelab oleh United Group for Development berpangkalan di Abu Dhabi dan terakhir penghijrahan bintang sensasi Brazil, Robinho dengan nilai sebanyak RM198juta (£32.5juta).

City berjaya memintas Chelsea yang hampir pasti mendapatkan Robinho pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup, sekali gus menjadikan isyarat kepada aliran perpindahan pemain Januari nanti bakal dikejutkan lagi.

Jumaat, 5 September 2008

Newcastle hilang nakhoda


Bahtera Newcastle United sekali lagi terumbang-ambing dalam tempoh tidak sampai setahun apabila pengurus pasukannya, Kevin Keegan, meletak jawatan selepas kontroversi melanda.

Ini berikutan pergeseran Keegan dengan pemilik kelab itu, Mike Ashley, selain dengan Pengurus Sukan, Dennis Wise dan Pengarah Urusan, Derek Lambias.

Newcastle menjadi kelab kedua selepas West Ham United yang kehilangan pengurus meskipun Liga Perdana Inggeris (EPL) itu baru tiga permainan.

Jumaat, 22 Ogos 2008

Silvestre menyeberang ke Arsenal, Cisse pulang ke EPL


DUA perpindahan pemain mengejutkan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, yang menyaksikan pemain pertahanan Manchester United, Mikael Silvestre menyeberang ke kelab musuh tradisi, Arsenal, manakala bekas penyerang Liverpool, Djibril Cisse, membuat come-back ke liga itu dengan menyertai Sunderland.

Silvestre mengejutkan ramai pihak meskipun sebelum ini sudah dikaitkan untuk menyalin jersi dengan kelab yang dikatakan bakal menjadi destinasinya ialah Sunderland atau Manchester City.

Bagaimanapun, pemain Perancis itu mungkin lebih selesa mengingatkan pengurus Arsenal, Arsene Wenger, adalah juga rakyat senegaranya, selain pemain lain di The Gunners, termasuk kaptennya, William Gallas.

Silvestre mencatat sejarah sebagai pemain pertama yang berpindah antara dua kelab itu sejak 1987 apabila Viv Anderson dipancing pengurus Man United, Sir Alex Ferguson sebagai pemain pertama yang dibelinya apabila mengambil alih kelab berkenaan.

Silvestre menandatangani kontrak dua tahun dengan kos perpindahan sebanyak RM4.6juta (£750,000).

Perpindahan itu turut mengejutkan rakan sepasukannya, termasuk Nemanja Vidic yang mempunyai hubungan akrab dengan Silvestre sejak berpindah ke kelab itu dua musim yang lalu.

Sementara itu, Cisse pula dipikat Sunderland selepas berjaya mendapatkan penyerang Fulham, David Healy, sekali gus menjadi pemain kelima dan keenam yang berjaya dipancing pengurusnya, Roy Keane, selepas Teemu Tainio, Pascal Chimbonda, Steed Malbranque and El-Hadji Diouf.

Rabu, 20 Ogos 2008

Terry sebagai kapten England


TEKA-TEKI siapa kapten pasukan England terjawab apabila jurulatihnya, Fabio Capello, mengekalkan armband itu kepada John Terry, manakala penolong kapten pula diserahkan kepada Rio Ferdinand, sekali gus mengetepikan Steven Gerrard.

Terry yang turut menjadi kapten Chelsea bakal membawa tugas berat itu dalam perlawanan persahabatan dengan Republik Czech, Rabu ini.

Ini menjawab spekulasi tanggungjawab kapten pasukan akan beralih kepada Ferdinand, meskipun pemain pertahanan Manchester United itu hanya baru mengambil alih tugas di peringkat kelab ekoran kecederaan Gary Neville.

Terry sendiri mengakui terkejut tetapi Capello menegaskan pemilihannya berdasarkan personaliti unggul yang dimiliki pemain pertahanan Chelsea itu.

"Saya tidak pernah mengaku kalah dalam menunaikan tanggungjawab itu dan tidak akan berbuat demikian," kata Terry, lalu menyambung, "Memang saya ada mendengar bisik-bisik bahawa Rio akan mengambil alih sehingga saya sedikit terkejut, tetapi saya akan menunaikannya sebaik mungkin. Sasaran saya sekarang ialah untuk membantu pasukan melayakkan diri ke Piala Dunia dan itulah yang akan kami lakukan."

Hargreaves bersedia ke Portsmouth


PEMAIN Manchester United, Owen Hargreaves, meyakinkan peminat kelabnya tentang kecergasannya semakin baik berbanding musim lalu yang hanya menyaksikan kecergasan pada tahap 60 peratus saja.

Pada musim lalu, pemain tengah itu dibelenggu masalah radang tendon yang dialaminya sejak awal musim tetapi pihak perubatan Man United sudah berusaha memulihkan kecederaan berkenaan.

Hargreaves sudah tidak sabar untuk turun seawal-awalnya pertemuan dengan Portsmouth, Isnin ini, meskipun Pengurus Man United, Sir Alex Ferguson dijangka tidak akan menurunkannya.

Dengan ketiadaan Michael Carrick yang turut berada dalam senarai kecederaan, Ferguson mungkin terpaksa memperjudikan kecergasan Hargreaves terutama selepas kelabnya terikat satu jaringan dengan Newcastle, Ahad lalu.

Selasa, 19 Ogos 2008

Keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2008/2009 minggu pertama

Jumaat, 15 Ogos 2008

Gunners dan Reds lepasi ujian awal


ARSENAL boleh menarik nafas lega apabila menumpaskan FC Twente dengan dua gol tanpa berbalas, manakala Liverpool berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dengan Standard Liege di Belgium dalam perlawanan peringkat saringan Liga Juara-juara.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menurunkan pemain muda dalam perlawanan pertama saringan di tempat lawan tetapi pemain berpengalamannya yang memastikan mereka pulang dengan mata penuh apabila Kapten pasukan, William Gallas dan penyerang Togo, Emmanuel Adebayor menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Liverpool pula terpaksa bergantung penuh kepada penjaga gol mereka, Jose Reina, kerana menyelamatkan tendangan penalti pada separus masa pertama.

Standard Liege mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal memanfaatkannya dengan baik.

Reds tidak perlu risau kerana kelab lawan akan bertandang ke Anfield pada perlawanan kedua peringkat saringan itu.

Khamis, 14 Ogos 2008

Frank Lampard kekal di Stamford Bridge sebagai pemain termahal Chelsea

Gajinya memang cukup lumayan dan bagus!

Ini semua kuasa dari langit!

Saya pasti lebih menyintai Chelsea. Terima kasih Chelsea!

AKHIRNYA spekulasi perpindahan pemain tengah Chelsea, Frank Lampard, berakhir apabila pemain England itu menandatangani kontrak baru dengan kelab itu selepas prosesnya mengambil masa 18 bulan.

Persetujuan Lampard itu mengelakkan kelab Inggeris itu daripada kehilangannya tanpa mendapat apa-apa pulangan.

"Kami menandatangani kontrak baru saya pada hari ini," kata Lampard, "Saya secara peribadinya sangat gembira dan berharap berita ini juga menggembirakan peminat Chelsea. Saya sudah melalui tujuh musim yang hebat di sini dan saya mahu lebih banyak lagi."

Kontrak baru itu memberikan pulangan kepada Lampard hampir RM810,000 (£130,000) seminggu dan mungkin melonjak kepada RM871,000 (£140,000) pada tahun ketiga dalam kontrak terbabit meskipun ketika itu bintang berkenaan sudah pun berusia 33 tahun.

Dalam tempoh lima tahun, Lampard dianggarkan bakal mengaut kira-kira RM211juta (£34juta), sekali gus menyamai gaji yang diperolehi Kaptennya, John Terry.

Sudah tentu, peminat Chelsea wajar mengharapkan persembahan yang lebih hebat lagi daripada Lampard apatah lagi sekiranya digandingkan dengan bintang seperti Deco dan Michael Ballack.

Yakin Robinho dapat dipancing ke Stamford Bridge


MESKIPUN tawaran Chelsea terhadap Robinho ditolak mentah-mentah oleh Real Madrid, Ketua Eksekutif Chelsea, Peter Kenyon masih tetap menaruh harapan untuk membawa bintang Brazil itu ke Stamford Bridge.

Pengurusnya, Luis Felipe Scolari, mahu mempertajamkan barisan serangannya dengan mendapatkan khidmat penyerang itu sebelum tingkap perpindahan pemain ditutup pada 31 Ogos ini.

Chelsea mempunyai masa kurang daripada dua minggu untuk membuat tawaran yang boleh menarik perhatian Real Madrid yang sebelum ini terpaksa menggigit jari apabila gagal menarik bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo ke Madrid.

Robinho yang menjaringkan 35 gol dalam 131 penampilan di Madrid, dijangkakan boleh menjadikan corak permainan Chelsea lebih menarik tetapi jurulatih gergasi La Liga itu, Bernd Shuster tetap bertegas untuk memastikan bekas pemain Santos itu kekal.

Chelsea setakat ini hanya berupaya menarik dua bintang, iaitu Jose Bosingwa dan Deco ke Stamford Bridge, meskipun dikaitkan dengan banyak nama termasuk Kaka.

Eropah, jaga-jaga! Liverpool datang!

LIVERPOOL punya penyerang sama hebat dengan penyerang terbaik Eropah, kata pengurusnya, Rafael Benitez.

Bintang Sepanyol, Fernando Torres dan penyerang baru, Robbie Keane diberi tugasan untuk memastikan kelab mereka melepasi ujian saringan Liga Juara-juara, berdepan dengan Juara Standard Liege Belgium.

Berbekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan di tempat lawan pada peringkat saringan, Benitez bergantung penuh kepada Torres dan Keane untuk bermaharajalela di depan pintu gol.

Dengan memuji dua penyerangnya, Benitez berkata, Keane dan Torrez tergolong sebagai penyerang pintar yang menjaringkan banyak gol pada musim lalu serta selepas serasi, mereka bakal meneruskan persembahan terbaik mereka.

"Dua penyerang ini top class dan mereka boleh bermain mana-mana peringkat dalam pertandingan ini. Mereka akan jadi lebih baik dan semakin baik lagi.

"Bagaimanapun mereka memerlukan masa. Musim panas akan menyukarkan pemain yang tiba di padang latihan pada peringkat yang berlainan tapi saya tidak bimbang untuk masa depan mereka," katanya.

Rabu, 13 Ogos 2008

Berbatov jadi Red Devils

Aku mahu berlari ke kaki Old Trafford!

SELEPAS dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford sejak musim lalu, penyerang Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov, dilaporkan bakal menyertai Manchester United dalam tempoh 48 jam dengan bayaran yang lebih murah daripada yang diminta majikannya.

Sebelum ini, Spurs meletakkan penyerang Bulgaria itu pada nilai RM239juta (£38juta) tetapi kini kelab di bawah pimpinan Juande Ramos itu dikatakan bersedia membenarkannya meninggalkan White Hart Lane dengan menurunkannya kepada RM176juta (£28juta).

Ini kerana Ramos sudah bosan dengan pendedahan yang dibuat oleh Berbatov yang melahirkan hasrat untuk berpindah ke Old Trafford dan menampilkan persembahan yang kurang memberangsangkan, selain Ramos berpendapat penyerang itu sepatutnya memperlihatkan kesetiaan kepada kelabnya sekarang.

Ramos turut dilaporkan mensasarkan penyerang Zenit St Petersburg, Andrei Arshavin dan bintang Spartak Moscow, Roman Pavlyuchenko untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robbie Keane yang berhijrah ke Liverpool.

Henry, Eto'o kekal di Nou Camp

Bro, nampaknya kita berdua masih ada harapan di sini!

JURULATIH Barcelona, Pep Guardiola, membunuh spekulasi perpindahan penyerangnya, Samuel Eto'o dan Thierry Henry, dengan memberikan sokongan kepada mereka meskipun melalui musim sukar pada musim lalu.

Henry yang masih terpaksa mencari persembahan terbaiknya selepas tiba di Nou Camp, dikaitkan dengan spekulasi akan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan apa yang disifatkan kepulangan yang mengejutkan ke Manchester United.

Eto'o pula menjadi antara penyerang yang paling banyak dikaitkan dengan pelbagai kelab termasuk gergasi di EPL.

Sokongan Guardiola itu bermakna jurulatih yang menggantikan Frank Rijkaard membuat pusingan U apabila sebelum ini menegaskan Eto'o tidak mempunyai masa depan di kelab itu, selain Ronaldinho yang berhijrah ke AC Milan dan Deco (Chelsea).

Guardiola dianggap berbuat demikian kerana Barcelona gagal menarik penyerang yang setanding dengan dua penyerang terbabit atau sekurang-kurangnya boleh mengisi kekosongan mereka.

Isnin, 11 Ogos 2008

Jawapan Portsmouth selepas kalah: Beli pemain pertahanan!

Tak nak turunkan saya dalam kesebelasan utama? Ada akal ke?

YOUNES Kaboul, bakal memperkuatkan barisan pertahanan Portsmouth apabila pemain pertahanan Perancis itu berhijrah ke kelab itu dengan yuran perpindahan bernilai RM38juta (£6juta).

Pemain berusia 22 tahun yang meninggalkan Tottenham Hotspur itu, menandatangani kontrak empat tahun selepas menyempurnakan pemeriksaan kesihatan di Fratton Park hari ini.

Ujian pertama Kaboul ialah mempertahankan gawang Portsmouth daripada bolos Ahad ini apabila pasukannya bertemu dengan Chelsea di Stamford Bridge.

Itu pun sekiranya Harry Redknapp tidak mengekalkan gandingan Sylvain Distin dan Sol Campbell yang berjaya mengekang serangan Manchester United dalam Charity Sheild semalam.

Kaboul berkata: “Saya datang ke sini kerana pengurus mahukan saya sejak dua tahun lalu. Saya bertemu dengannya dua tahun lalu apabila saya bermain dengan Auxerre dan saya suka kepadanya kerana beliau memberikan keyakinan.

“Saya tidak berdepan dengan pilihan sukar untuk datang ke sini. Kebanyakan ulasan di akhbar mengatakan saya akan ke Sunderland atau Aston Villa tetapi saya sebenarnya mahu datang ke sini,” katanya.

Kaboul menarik perhatian bekas Pengurus Spurs, Martin Jol, tahun lalu tetapi berdepan dengan kesukaran di bawah pengurusan baru yang diketuai Juande Ramos yang melancarkan Revolusi Ramos.

Ramous lebih cenderung menurunkan Didier Zokora pada posisi pertahanan utama.

Thierry Henry kembali ke EPL sebagai Red Devils?

Apakah jersi Henry akan bertukar ke Red Devils?

APAKAH penyerang Perancis, Thierry Henry, bakal pulang ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan benarkah bekas pemain Arsenal itu bersedia membuat kejutan dengan memilih Old Trafford, sekali gus menyertai musuh tradisi The Gunners?

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, enggan menolak kemungkinan juara EPL itu mendapatkan khidmat bekas pemain terbaik dunia selepas gagal menarik beberapa penyerang ke kelabnya.

Manchester United yang kehilangan penyerang Wayne Rooney akibat masalah kesihatan dan Louis Saha yang dilihat tidak berada dalam senarai pilihan, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Carlox Tevez dalam saingan Perisai Komuniti (Charity Sheild) menentang Portsmouth.

Meskipun, Man U berjaya mengalahkan Portsmouth, keputusan permainan semalam terpaksa berlanjutan kepada penentuan penalti yang menyaksikan pemain Portsmouth gagal menyaingi keyakinan juara EPL dalam menyempurnakan penalti berkenaan.

Ferguson mengakui sedang berusaha mendapatkan penyerang sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan EPL dalam perlawanan pertama menentang Newcastle.

"Keadaan sangat tertekan sejak musim lalu berakhir. Kami cenderung beroperasi dengan empat penyerang tetapi kami tidak dapat berbuat demikian," kata Ferguson.

Sebelum ini, Man U dikaitkan dengan penyerang Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov, selain beberapa bintang Eropah seperti Karim Benzema, David Villa dan Klaas-Jan Huntelaar.
 

blogger templates | Make Money Online